‘Ai habbal ranakan/dinakan?’. Perkataan ini selalu sahaja diucapkan di kalangan masyarakat Bajau di Negeri Sabah. Bermaksud ‘Apa khabar saudara’ yang melambangkan semangat keakraban dan persaudaraan yang kukuh. Ia juga melambangkan kuatnya semangat kekeluargaan dan kekitaan dalam masyarakat ini. ‘Sama’’ yang bermaksud bajau itu sendiri bukan sahaja perkataan atau ganti nama mereka dalam komuniti ini tetapi ia juga membawa maksud bersama atau sama rata yang secara tidak langsung menggambarkan semangat perpaduan dan toleransi yang tinggi dalam masyarakat.
Saya percaya bahawa lebih 20% daripada penduduk Negeri Sabah adalah dari kalangan Kaum Bajau. Bajau merangkumi Bajau Kota Belud, Tuaran, Papar, Kota Kinabalu dan Bajau Semporna, Kunak, Lahad Datu, Tawau manakala sebilangan kecil di Daerah Sandakan. Kawasan-kawasan ini penduduknya menggunapakai perkataan ‘Bajau’ sebagai identity mereka. Walhal, terdapat lagi masyarakat Bajau menggunakan nama lain seperti Ubvian, Ayakan, Simunul, Kagayan, Pala’u, Suluk, Benadan dan Irranun yang mendiami sekitar Kota Belud, Kudat dan Pitas. Cuba bayangkan, masyarakat ini mendiami 11 daerah daripada 23 daerah di Sabah. Rata-rata masyarakat ini menggunapakai asas bahasa yang sama meskipun telah di pengaruhi oleh persekitaran.

Masyarakat Bajau memang terkenal dengan sikap setia dan patuh kepada arahan. Sejak turun-temurun masyarakat ini amat setia kepada Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu sehinggalah Malaysia dibentuk pada tahun 1963. Bajau juga sejak sekian lama menjadi ‘Raja Laut’ kepada 3 lautan iaitu Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Di seluruh dunia dianggarkan lebih 5 juta orang masyarakat ini mendiami sekitar Utara dan Selatan Pulau Sulawesi Indonesia(Lebih dari 1.5 juta orang), Tengah dan Selatan Filipina(Lebih dari 2.5 juta orang), Kepulauan Palau di Pasifik(Tiada data), di sekitaran pantai-pantai Negeri Sabah di Malaysia (tidak kurang dari 0.5 juta orang) dan kemungkinan di Kepulauan Bajau di Riau Indonesia.
Mengikut dongeng Bajau, ‘Kitai tu min Johol asal ta’ yang membawa makna ‘Kita ni berasal dari Johor’. Sesetengah mendakwa mereka adalah dari susur galur keturunan Kesultanan Brunei. Walau bagaimanapun masih terdapat kekeliruan memandangkan terdapat beberapa persamaan dari segi nama tempat di sekitar Nusantara. Misalnya di kepulauan Riau Indonesia terdapat beberapa buah pulau yang dinamakan Pulau Bajau. Manakala di Kepulauan Visaya, Filipina terdapat dua buah pulau yang diberi nama Pulau Bohol dan Samal(Samar). Walau apapun kita adalah anak jati Sabah dan anak Malaysia maka hidup dan mati kita di negeri dan negara kita yang tercinta ini. Sesama ’Sama’ lah kita bersatu di bawah satu “Sambulayang Sama’”.
Gambar-gambar dalam artikel ini adalah gambar generasi muda Bajau di Negeri Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan